|
Mercu tanda Riyadh - Burj Al Mamlaka |
“Malaysia begitu cantik, penuh dengan bumi yang serba menghijau. Kenapa
awak mahu tinggal di Riyadh?” soal emak Rumaisah ketika berkunjung ke rumah kami
pada suatu hari.
Aku agak terkejut dengan soalan yang dilontarkan, tidak pasti jawapan
yang mahu diberi. Terus sahaja merasa rindu pada bumi kelahiran yang sedang aku
tinggalkan. Aku merenung wajah wanita yang dilahirkan di England itu. Pn
Sajidah sudah enam belas tahun menetap di Arab Saudi, Rumaisah juga dilahirkan
di sini. Setelah niqabnya dibuka, terserlah wajahnya yang ada iras keturunan
Pakistan dan India.
Saffura begitu gembira dikunjungi oleh rakan sekolahnya itu. Mereka
berdua terus masuk ke dalam bilik Saffura, tinggal kami berdua sahaja di ruang
tamu. Aku betul-betul terpukul dengan soalan dari Pn Sajidah. Puas aku mencari
jawapan, terlupa semua hasrat.
"Di sini ada Mekah dan
Madinah," aku menjawab soalan tersebut sambil terasa sebak di dada. Pn
Sajidah bersetuju dengan jawapan yang aku beri. Walaupun terdapat beberapa
kekurangan di negara bergurun ini namun ada peluang lain yang amat berharga.
Tinggal di bumi Anbiya ini membolehkan kita mengerjakan umrah dan ziarah ke
Madinah tanpa had.
Banyak perkara yang kami bualkan dalam tempoh kira-kira lima belas
minit. Kebanyakannya berkisar tentang kerjayanya sebagai pensyarah di
Universiti King Saud. Tidak lama Pn Sajidah berada di rumah kami. Beliau
sekadar mahu memastikan anaknya selamat berada di rumah kawannya. Pn Sajidah membiarkan Rumaisah berada di rumah
kami sehingga selepas Maghrib untuk dijemput oleh pemandunya.
Sebaik
pulang dari menunaikan umrah pada tahun 2009, jiwa ini seolah tertinggal di
Mekah. Kerap kami berbual perihal bekerja di Arab Saudi. Lebih-lebih lagi apabila
ada beberapa rakan yang sudah bekerja di sana. Kami memasang cita-cita dan
berdoa supaya ada jalan untuk merasa pengalaman tinggal di negara tersebut. Teruja
sekali untuk berhijrah ke Arab Saudi.
Agak
mustahil peluang tersebut diraih melalui syarikat di mana suami aku sedang berkhidmat.
Hasrat tersebut hanya boleh dicapai jika dia menukar status pekerjaan, dari
seorang pengurus syarikat kepada seorang pensyarah universiti. Suamiku baru
selesai menghabiskan pengajiannya di peringkat kedoktoran.
Beberapa
bulan selepas pulang dari mengerjakan umrah, suami aku mencuba nasib memohon
untuk mengajar di Dar Al Uloom University Riyadh. Dia ditemu duga melalui
telefon dan butir-butir diri aku juga turut diminta. Mereka mahu aku mengajar
di sekolah yang terdapat di universiti tersebut. Dia berjaya mendapat tawaran
bekerja di universiti tersebut dengan gaji dan elaun yang agak lumayan.
Namun
dengan berat hati suamiku terpaksa menolak tawaran berharga itu. Pihak universiti
mahu dia segera mengisi kekosongan yang sedia ada. Sedangkan dia masih bekerja
di salah sebuah syarikat telekomunikasi.
Keinginan untuk tinggal di negara yang memiliki Kaabah dan Masjid Nabawi itu bernoktah.
Suamiku
meneruskan kerjaya di syarikat tersebut dan mencari pengalaman mengajar secara
sambilan sebagai pensyarah di universiti sekitar lembah Kelang. Dalam masa yang
sama kawannya, Dr Zamri yang sedang bekerja di Universiti Prince Sultan, Riyadh
sentiasa bercerita tentang pengalamannya bekerja di Riyadh.
”Kerja
di sini relaks bang tapi sikap pelajarnya sangat mendukacitakan.” Itulah komen
yang kerap diberikan oleh Dr Zamri setiap kali berbual dengan suami aku melalui
telefon apabila pulang bercuti. Perbincangan kerap kali disusuli pula dengan
kutukan terhadap bangsa yang terkenal dengan kemewahan itu.
̎”Susah
untuk diceritakan perangai orang-orang Arab ni,” sambungnya lagi apabila suami
aku membuat provokasi kepadanya.
̎
Biasalah bang pelajar sekarang memang macam itu , tidak seperti zaman kita
dahulu. Janji masyuk... tak gitu!” balas suamiku yang mempunyai pengalaman
bergaul dengan pelajar Arab sewaktu menuntut di England.
Suami
aku tidak pula menceritakan hasratnya kepada Dr Zamri yang dia juga ingin
mencari pengalaman bekerja di Arab Saudi. Pastinya dia tidak akan meminta
bantuan Dr Zamri walaupun aku pernah memberi cadangan tersebut.
Keinginan
untuk berhijrah masih menari-nari di jiwaku yang juga sudah mulai tepu dengan
kerjaya yang sedang dilalui. Setelah tempoh bekerja sudah melewati dua puluh
tahun, pasti aku memerlukan ruang udara yang berbeza buat sementara.
Berpindah
sekolah tidak akan menyelesaikan masalah kerana budaya kerja setiap sekolah
hampir sama.
”Mengapa
tidak ke Qatar atau Abu Dhabi?”soal beberapa rakan kami yang lain.
”Kos
sara hidup di Arab Saudi lebih kurang sama dengan di Malaysia. Jadi kita boleh
menyimpan duit,” jawab suami aku.
Ada
hasrat lain yang tersimpan buat kami berdua iaitu untuk menunaikan haji buat
kali ke dua. Menunaikan haji buat pertama kali di usia yang masih muda, terasa
tidak begitu puas. Apa lagi setelah ianya berlalu agak lama, hampir menjangkau
20 tahun.
Untuk
mengulanginya melalui Tabung Haji pasti sukar dan memerlukan tempoh menunggu sehingga lebih 50 tahun. Lagi pula kami tidak mahu mengambil hak orang lain
terutama bagi mereka yang mahu
menunaikan fardu haji buat kali pertama.
Kewajipan
untuk mengerjakan haji hanya sekali, jika diulang ianya sekadar ibadah sunat.
”Jika
Fauziah nak pergi haji, saya boleh tolong,” pernah kami ditawarkan pertolongan
oleh seorang sahabat.
”Terima
kasih. Memang kami teringin untuk mengerjakan haji lagi jika ada rezeki tapi kami tidak mahu mengambil peluang
orang lain,” itulah jawapan yang
akan
aku berikan jika ada yang mahu membantu.
Alhamdulillah,
doa kami diterima Allah selepas empat tahun pulang dari mengerjakan umrah.
Hijrah suami aku ke tempat kerja yang baharu dalam tempoh tidak sampai setahun
memberi hasil yang lebih lumayan. Kini suamiku bergelar pensyarah sepenuh masa.
Dengan
pertolongan Allah jua, ada yang membuka peluang untuk suamiku mencuba nasib
buat kali kedua.
Akulah
orang yang paling gembira dengan tawaran yang diterima. Sesungguhnya aku ingin
berehat dari kerjaya yang aku telah aku ceburi sekian lama. Aku mahu menambah
kualiti hidup ini setelah dibelenggu rutin yang sama saban hari.
Terasa
doa yang pernah aku pohon setiap malam di MasjidilHaram termakbul. Aku mahu
memahami apa yang sedang dibaca Imam Syaikh
Mahir bin Hamd al-Mu’aiqili dalam setiap rakaat Solat Tarawih.
Bacaannya
cukup merdu dan indah persis sedang berbicara dengan Sang Pencipta. Penuh
tawaduk mengadu kepadaNya dengan rasa rendah diri dan penuh dengan dosa. Aku
hanya mampu menangis, air mata mengalir deras tanpa mengerti isinya. Lebih
meruntun sebak di dada apabila jemaah wanita yang berbangsa Arab meratap hiba
dengan suara yang jelas kedengaran. Ya Allah... aku mahu memahami bahasa al-Quran.