Isnin, 1 April 2019

BAB 1 - Kenapa Ke Riyadh?

Mercu tanda Riyadh - Burj Al Mamlaka

“Malaysia begitu cantik, penuh dengan bumi yang serba menghijau. Kenapa awak mahu tinggal di Riyadh?” soal emak Rumaisah ketika berkunjung ke rumah kami pada suatu hari.

Aku agak terkejut dengan soalan yang dilontarkan, tidak pasti jawapan yang mahu diberi. Terus sahaja merasa rindu pada bumi kelahiran yang sedang aku tinggalkan. Aku merenung wajah wanita yang dilahirkan di England itu. Pn Sajidah sudah enam belas tahun menetap di Arab Saudi, Rumaisah juga dilahirkan di sini. Setelah niqabnya dibuka, terserlah wajahnya yang ada iras keturunan Pakistan dan India.

Saffura begitu gembira dikunjungi oleh rakan sekolahnya itu. Mereka berdua terus masuk ke dalam bilik Saffura, tinggal kami berdua sahaja di ruang tamu. Aku betul-betul terpukul dengan soalan dari Pn Sajidah. Puas aku mencari jawapan, terlupa semua hasrat.

"Di sini ada Mekah dan Madinah," aku menjawab soalan tersebut sambil terasa sebak di dada. Pn Sajidah bersetuju dengan jawapan yang aku beri. Walaupun terdapat beberapa kekurangan di negara bergurun ini namun ada peluang lain yang amat berharga. Tinggal di bumi Anbiya ini membolehkan kita mengerjakan umrah dan ziarah ke Madinah tanpa had.

Banyak perkara yang kami bualkan dalam tempoh kira-kira lima belas minit. Kebanyakannya berkisar tentang kerjayanya sebagai pensyarah di Universiti King Saud. Tidak lama Pn Sajidah berada di rumah kami. Beliau sekadar mahu memastikan anaknya selamat berada di rumah kawannya.  Pn Sajidah membiarkan Rumaisah berada di rumah kami sehingga selepas Maghrib untuk dijemput oleh pemandunya. 

Sebaik pulang dari menunaikan umrah pada tahun 2009, jiwa ini seolah tertinggal di Mekah. Kerap kami berbual perihal bekerja di Arab Saudi. Lebih-lebih lagi apabila ada beberapa rakan yang sudah bekerja di sana. Kami memasang cita-cita dan berdoa supaya ada jalan untuk merasa pengalaman tinggal di negara tersebut. Teruja sekali untuk berhijrah ke Arab Saudi.

Agak mustahil peluang tersebut diraih melalui syarikat di mana suami aku sedang berkhidmat. Hasrat tersebut hanya boleh dicapai jika dia menukar status pekerjaan, dari seorang pengurus syarikat kepada seorang pensyarah universiti. Suamiku baru selesai menghabiskan pengajiannya di peringkat kedoktoran.

Beberapa bulan selepas pulang dari mengerjakan umrah, suami aku mencuba nasib memohon untuk mengajar di Dar Al Uloom University Riyadh. Dia ditemu duga melalui telefon dan butir-butir diri aku juga turut diminta. Mereka mahu aku mengajar di sekolah yang terdapat di universiti tersebut. Dia berjaya mendapat tawaran bekerja di universiti tersebut dengan gaji dan elaun yang agak lumayan.

Namun dengan berat hati suamiku terpaksa menolak tawaran berharga itu. Pihak universiti mahu dia segera mengisi kekosongan yang sedia ada. Sedangkan dia masih bekerja di salah sebuah  syarikat telekomunikasi. Keinginan untuk tinggal di negara yang memiliki Kaabah dan Masjid Nabawi itu bernoktah.

Suamiku meneruskan kerjaya di syarikat tersebut dan mencari pengalaman mengajar secara sambilan sebagai pensyarah di universiti sekitar lembah Kelang. Dalam masa yang sama kawannya, Dr Zamri yang sedang bekerja di Universiti Prince Sultan, Riyadh sentiasa bercerita tentang pengalamannya bekerja di Riyadh.

”Kerja di sini relaks bang tapi sikap pelajarnya sangat mendukacitakan.” Itulah komen yang kerap diberikan oleh Dr Zamri setiap kali berbual dengan suami aku melalui telefon apabila pulang bercuti. Perbincangan kerap kali disusuli pula dengan kutukan terhadap bangsa yang terkenal dengan kemewahan itu.

̎”Susah untuk diceritakan perangai orang-orang Arab ni,” sambungnya lagi apabila suami aku membuat provokasi kepadanya.

̎ Biasalah bang pelajar sekarang memang macam itu , tidak seperti zaman kita dahulu. Janji masyuk... tak gitu!” balas suamiku yang mempunyai pengalaman bergaul dengan pelajar Arab sewaktu menuntut di England.

Suami aku tidak pula menceritakan hasratnya kepada Dr Zamri yang dia juga ingin mencari pengalaman bekerja di Arab Saudi. Pastinya dia tidak akan meminta bantuan Dr Zamri walaupun aku pernah memberi cadangan tersebut.

Keinginan untuk berhijrah masih menari-nari di jiwaku yang juga sudah mulai tepu dengan kerjaya yang sedang dilalui. Setelah tempoh bekerja sudah melewati dua puluh tahun, pasti aku memerlukan ruang udara yang berbeza buat sementara.

Berpindah sekolah tidak akan menyelesaikan masalah kerana budaya kerja setiap sekolah hampir sama.

”Mengapa tidak ke Qatar atau Abu Dhabi?”soal beberapa rakan kami yang lain.
”Kos sara hidup di Arab Saudi lebih kurang sama dengan di Malaysia. Jadi kita boleh
 menyimpan duit,” jawab suami aku.

Ada hasrat lain yang tersimpan buat kami berdua iaitu untuk menunaikan haji buat kali ke dua. Menunaikan haji buat pertama kali di usia yang masih muda, terasa tidak begitu puas. Apa lagi setelah ianya berlalu agak lama, hampir menjangkau 20 tahun.

Untuk mengulanginya melalui Tabung Haji pasti sukar dan memerlukan tempoh menunggu sehingga lebih 50 tahun. Lagi pula kami tidak mahu mengambil hak orang lain terutama bagi  mereka yang mahu menunaikan fardu haji buat kali pertama.

Kewajipan untuk mengerjakan haji hanya sekali, jika diulang ianya sekadar ibadah sunat.

”Jika Fauziah nak pergi haji, saya boleh tolong,” pernah kami ditawarkan pertolongan
 oleh seorang sahabat. 

”Terima kasih. Memang kami teringin untuk mengerjakan haji lagi jika ada  rezeki tapi kami tidak mahu mengambil peluang orang lain,” itulah jawapan yang  
akan aku berikan jika ada yang mahu membantu.

Alhamdulillah, doa kami diterima Allah selepas empat tahun pulang dari mengerjakan umrah. Hijrah suami aku ke tempat kerja yang baharu dalam tempoh tidak sampai setahun memberi hasil yang lebih lumayan. Kini suamiku bergelar pensyarah sepenuh masa.

Dengan pertolongan Allah jua, ada yang membuka peluang untuk suamiku mencuba nasib buat kali kedua.

Akulah orang yang paling gembira dengan tawaran yang diterima. Sesungguhnya aku ingin berehat dari kerjaya yang aku telah aku ceburi sekian lama. Aku mahu menambah kualiti hidup ini setelah dibelenggu rutin yang sama saban hari.

Terasa doa yang pernah aku pohon setiap malam di MasjidilHaram termakbul. Aku mahu memahami apa yang sedang dibaca  Imam Syaikh Mahir bin Hamd al-Mu’aiqili dalam setiap rakaat Solat Tarawih.

Bacaannya cukup merdu dan indah persis sedang berbicara dengan Sang Pencipta. Penuh tawaduk mengadu kepadaNya dengan rasa rendah diri dan penuh dengan dosa. Aku hanya mampu menangis, air mata mengalir deras tanpa mengerti isinya. Lebih meruntun sebak di dada apabila jemaah wanita yang berbangsa Arab meratap hiba dengan suara yang jelas kedengaran. Ya Allah... aku mahu memahami bahasa al-Quran.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan