Selasa, 26 Mac 2019

BAB 6 - BIODATA

FAUZIAH BINTI ABDUL HAMID  dilahirkan di Sungai Bakap , Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang pada 18 Mei 1965. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap seterusnya meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Sungai Bakap yang kini ditukar nama kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Syed Sheh Barakbah. Selepas mendapat keputusan yang cemerlang di dalam Sijil Pelajaran Malaysia, beliau menerima tawaran ke Program Matrikulasi Universiti Sains Malaysia di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di Ipoh, Perak.

Seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia dalam bidang pendidikan dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kepujian) dalam bidang Kimia (major) dan Matematik (minor). Mula berkhidmat sebagai guru sebaik sahaja menamatkan pengajian pada tahun 1989. Berpengalaman mengajar di lima buah sekolah di empat buah negeri. Sempat meneruskan pengajian sambil bekerja di dalam bidang sarjana di Universiti Putra Malaysia dan memperoleh Sarjana Pendidikan Pentadbiran pada tahun 2006.

Minat untuk menulis sudah ada semenjak di sekolah menengah namun ianya terhenti akibat kesibukan belajar. Pun begitu aktiviti menulis diteruskan dengan membuat catatan perjalanan di dalam sebuah buku khas setiap kali keluar negara. Semenjak 1992, beliau berpeluang mengikut suami bertugas di luar negara. Rugi rasanya jika setiap pengalaman pahit manis tersimpan sahaja di dalam buku buat tatapan diri sendiri dan keluarga.

Keinginan untuk menulis dan menghasilkan buku tulisan sendiri muncul pada tahun 2011 lalu mengikuti Bengkel Penulisan Islami Menulis Buku Umum dan Popular anjuran IKIM. Beliau terus menulis travelog yang menceritakan pengalaman mengembara di luar negara. Pada tahun 2013, beliau mengambil cuti tanpa gaji untuk mengikut suami ke Riyadh, Arab Saudi. Peluang bercuti digunakan sepenuhnya dengan menulis melalui blog iaitu Memory Ziasaf. Tulisan di dalam blog dipenuhi dengan travelog dan pelbagai resepi di Dapurku D'Riyadh.

Kembali ke tanah air pada tahun 2016 dan meneruskan kerjaya di  Selangor. Minat menulis masih diteruskan meskipun masa untuk menulis agak terhad. Terus mencari pengalaman menulis dengan menghadirkan diri di dalam Bengkel  Tulis Dan Terbit Buku Pertama oleh Saudara Zamri bin Mohamad pada tahun 2017.

Setelah berkhidmat hampir 30 tahun sebagai seorang guru, beliau mengambil keputusan untuk bersara pilihan pada 1 Mac 2019. Amat berharap dapat meneruskan minat yang mendalam di dalam bidang masakan, merantau di dalam dan di luar negara seterusnya menulis buku travelog dan masakan buat saham Akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan